Monday, 14 December 2015

FESTIVAL HANTU MASYARAKAT CINA

Festival ini merupakan tradisi dan kepercayaan masyarakat cina yang wujud pada zaman dahulu kala lagi.  Perayaan ini dipanggil Zhong Yuan dalam sebutan cina yang jatuh pada tarikh 15hb. Julai setiap tahun mengikut kalendar cina.  Sebenarnya perayaan Zhong Yuan berasal dari ajaran Taoisme. Dalam Taoisme, istilah "Zhong Yuan" adalah berdasarkan tiga perayaan (san yuen) yang penting.  San Yuen bermaksud 15hb. Januari, 15hb. Julai dan 15hb. Oktober, iaitu tiga hari yang bulannya purnama. 

Menurut konsep Yin Yang, pada 1hb setiap bulan konsep Yang (terang) paling kuat pengaruhnya, manakala 15hb. setiap bulan didominasi oleh Yin (gelap).  Berikutan itu, kerja-kerja menembah dewa bulan, dewi, dewa pwnghukum dan menyembah roh-roh nenek moyang ditetapkan pada 15hb.  Orang cina mempercayai bahawa 15hb. Julai, roh nenek moyang akan balik ke rumah anak cucunya sekali setahun.  Mereka yang hidup bukan sahaja akan menyembah roh-roh itu, malahan juga akan menjalankan upacara menghalau hantu-hantu jahat, selain menghindari kecelakaan.

Terdapat pelbagai aktiviti Festival Hantu dijalankan, antaranya menyembah roh nenek moyang, menyediakan makanan untuk roh yang tidak bertuan, menyempurnakan upacara bagi mereka yang baru meninggal dunia, upacara pujaan pasu, menyalakan pelita sepanjang sungai dan menyelamatkan seluruh umat manusia.

Menyentuh aktiviti menyembah roh nenek moyang, ia bermaksud menyediakan minuman arak dan membakar alat-alat keperluan seperti kasut, topi, kereta, rumah baju berwarna-warni, wang yang diperbuat daripada kertas untuk kegunaan si mati di neraka nanti. Upacara ini dilakukan besar-besaran seperti melayan tetamu khas kerana orang cina mempercayai bahawa roh nenk moyang pasti balik pada bulan ini.  Menjelang Festival Hantu, bukan sahaja rakyat biasa mengadakan upacara penyembahan, malahan penganut-penganut buddha juga pergi ke kubur untuk menyembah.






 
YIN YANG



Sesetengah golongan masyarakat cina juga menyediakan makanan untuk roh yang tidak berkeluarga.  Malahan terdapat mereka yang mengadakan persembahan tertentu.  Dalam pertunjukkan itu, gadis-gadis berbaju serba putih, digari dan berlakon sebagai roh banduan, manakala pemuda-pemuda berlagak sebagai pengiring kepada Dewa Neraka, mengangkat tandu mengeliling kota untuk tujuan menghapuskan dosa-dosa si mati.

Mengikut kepercayaan orang cina, 15hb Julai ialah cuti umum di neraka di mana pintu neraka dibuka luas.  Maka tiada pintu penghalang lagi antara manusia dan hantu.  Hantu-hantu lama boleh balik ke rumah untuk menikmati hidangan makanan, manakala roh-roh yang baru mati boleh mengambil kesempatan untuk kembali ke neraka.

Satu lagi aktiviti yang dijalankan ialah aktiviti menyala pelita sepanjang sungai menjelang festival ini, ini berdasarkan kepercayaan buddha bahawa roh si mati dalam proses reinkarnasi akan melalui "Sungai Derita".  Oleh itu, semasa mengadakan upacara untuk menyelamatkan roh itu, orang-orang cina perlu menyalakan pelita supaya roh si mati selamat menyeberang sungai ini.  Tradisi ini bermula sejak Dinasti Sung lagi.

Penganut-penganut Buddha mengejar impian kehidupan di hayat akan datang.  Hayat ini dan kehidupan sekarang dianggap proses peralihan dari penderitaan ke alam kebahagiaan.  Lantaran itu lahirlah upacara menyelamatkan semua umat manusia pada bulan Julai.

Daripada beberapa aktiviti yang dilakukan dalam festival hantu ini, jelas menunjukkan ajaran agama Buddha banyak mempengaruhi festival ini.  Walau bagaimanapun, daripada asal usul dan proses pembentukan, festival ini sebenarnya adalah warisan bangsa Cina di negara China beribu-ribu tahun.
Tujuan utamanya untuk menyembah roh nenek moyang dan menyelamatkan roh si mati.  Ini bertepatan dengan konsep "Xiao" (Taat Setia) dalam masyarakat Cina.


No comments:

Post a Comment