Masyarakat Melanau adalah antara masyarakat yang terdapat di negeri Sarawak. Masyarakat ini mendiami beberapa kawasan seperti Rajang, Mukah-Dalat, Balingan-Tatau dan Bintulu. Masyarakat Melanau telah banyak mengalami proses asimilasi dengan orang-orang Melayu. Lebih separuh daripada dialek yang digunakan adalah dalam bahasa Melayu. Bahkan kini majoriti suku kaum ini menganut agama Islam.
Seperti masyarakat Bumiputera yang lain, masyarakat Melanau juga merupakan masyarakat yang berhijrah dari kalimantan dan kemudian menyusup masuk ke Sarawak. Pada masa itu juga terdapat beberapa lagi kaum Bumiputera yang lain turut berhijrah,
Masyarakat Melanau mempunyai satu perayaan yang merupakan tradisi mereka sejak dahulu lagi, iaitu perayaan Kaul yang merupakan upacara tahunan yang diraikan oleh komuniti Melanau. Perayaan Kaul merupakan satu daripada adat yang paling lama diamalkan. Pada masa itu, perayaan ini penting dan segi kepercayaan Melanau dan bermotifkan penyembahan makhluk halus iaitu Ipok Kala.
Kala bermaksud muara sungai dan Ipok adalah kuasa ghaib yang menguasai sesebuah tempat. Perayaan Kaul dibuat di sebelah kanan muara sungai. Tempat ini dianggap penting kerana merupakan pertemuan antara darat, laut dan sungai yang menjadi kegiatan ekonomi kaum ini.
Sejajar dengan kepentingan itu perayaan Kaul, Ipok Kala dianggap sebagai kuasa ghaib yang amat kuat. Semasa meraikan upacara Kaul, mereka berdoa kepada Ipok supaya mewujudkan kedamaian dan meningkatkan hasil tangkapan atau tuaian pada tahun yang akan datang. Upacara ini diadakan pada setiap tahun bulan Mac. Semasa upacara Kaul diadakan mereka perlu mengikuti beberapa peraturan yang dikenakan oleh masyarakat Melanau sendiri.
Semasa upacara tersebut seorang lelaki yang mempunyai kedudukan akan dilantik sebagai ketua dan digelar sebagai bapak Kaul. Sebelum itu, persediaan perlu dilakukan dengan memasukkan barang-barang persembahan seperti talam yang diperbuat daripada daun nipah yang mengandungi nasi pulut, sirih pinang, rokok daun dan bendera mengikut pangkat.
Sesungguhpun demikian perayaan Kaul hanya diadakan oleh golongan yang berpegang kepada kepercayaan lama dan bagi sekarang acara tersebut disediakan hanya sebagai acara sosial. Walau bagaimanapun, berlainan agama, tetapi sikap kerjasama yang ditunjukkan oleh semua golongan adalah baik


No comments:
Post a Comment